Page


Sunday, February 10, 2013

PAMERAN BERTEMA: SENI WARISAN KRAF TRADISIONAL



DEFINISI KRAF
"Keluaran Kraftangan" ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa keluaran batik;
Dan
 "Keluaran Batik" ertinya apa-apa barang, walau bagaimanapun dihasilkan, yang mempunyai rekabentuk batik pada atau di mana-mana bahagiannya.
sumber: Akta 222-Akta perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979

HASIL RIMBA



         Anyaman merupakan seni kraf sejagat Malaysia wujud sejak 300 ratus tahun yang lampau. Hasil rimba seperti buluh, rotan, pandan, mengkuang dan ribu-ribu menyumbang kepada hasil utama kraf anyaman. Anyaman yang dihasilkan daripada bahan hasil rimba ini memaparkan barangan harian, hiasan dan hadiah.
Keunikan dan kesenian serta kreativiti masyarakat Malaysia menghasilkan kraftangan anyaman terserlah melalui penghasilan bakul, tikar, perabut, pengadang, bekas serbaguna, dinding rumah dan barangan hadiah dan cenderamata.


RINAGO

Kraftangan Anyaman Rinago (ribu ribu) adalah sejenis anyaman yang banyak dihasilkan oleh suku kaum Rungus di Daerah Kudat. Ianya juga dikenali sebagai Lingkong dalam bahasa Rungus. Ribu ribu atau nama saintifiknya Lygodium adalah sejenis tumbuhan paku pakis menjalar yang tumbuh di kawasan belukar. Bagi membuat produk kraftangan ribu ribu dianyam dengan rotan atau buluh bagi membuat produk kraf yang dikehendaki.

Antara produk kraf tardisional yang dihasilkan daripada ribu-ribu adalah seperti gasing, tinompok dan selapak. Walaubagaimanapun ianya boleh diperluaskan kegunaannya dengan dijadikan produk-produk kraf lain seperti alas pinggan, alas gelas, bekas buah, bakul dobi, bekas gula gula dan sebagainya

ROMBONG
 Seni anyaman Rombong merupakan satu seni kraftangan yang menghasilkan bakul serbaguna yang diperbuat daripada mengkuang. Seni ini sangat terkenal di kalangan kaum wanita negeri Melaka. Rombong boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan mengandungi motif-motif yang memaparkan saling berkaitan antara alam sekitar dan manusia. Kewujudan rombong adalah sebahagian hasil kemahiran kraftangan yang dipusakai sejak zaman berzaman. Melalui kemahiran tangan dan ilham daun mengkuang dianyam dengan teknik "anyaman gila"sehingga membentuk sebuah bakul serbaguna.
Kemahiran dan kreativiti tukang anyam terserlah di dalam penghasilan rekacorak dan saiz yang variasi. Keindahan warisan ini memaparkan hubungkait alam sekitar di dalam kehidupan manusia seharian. Penggunaan motif-motif yang berteraskan alam semulajadi seperti flora dan fauna menjadi sumber inspirasi di dalam penghasilan bakul rombong. Rombong boleh didapati dalam bentuk bujur telur, potong wajik, tiga segi, empat segi dan bulat. Ianya juga terdapat dalam set susunan tiga atau lima biji pada bentuk yang sama tetapi berlainan saiznya.
Gabungan sulaman dan anyaman rombong ini menampakkan keindahan dan kehalusan seni khazanah bangsa. Tidak hairanlah nilai estetika pada bakul rombong ini dikagumi dan diminati oleh masyarakat setempat dan para pelancong.
ROTAN

Rotan merupakan bahan utama membuat bakul. Terdapat berbagai-bagai jenis rotan yang boleh digunakan untuk dijadikan bakul. Di antaranya ialah rotan sega. Terdapat juga rotan-rotan lain yang telah dibentuk seperti rotan isi atau dikenali sebagai rotan pulor, rotan kulit dan rotan ikat tanpa kulit. Bilah-bilah rotan ini akan diwarnakan mengikut corak bakul yang dikehendaki. Jalinan warna digabungkan akan menghasilkan bentuk bakul yang begitu menarik. 
Penyediaan Bahan dan Peralatan
Bahan dan peralatan perlu disediakan sebelum kerja-kerja pembuatan bakul dimulakan. Di antara bahan yang digunakan adalah seperti berikut:
·         Rotan pulor 2mm - digunakan untuk membentuk jalinan di permukaan bakul.
·         Rotan pulor 3mm - digunakan untuk dijadikan asas tiang atau rangka bakul.
·         Rotan sega - digunakan untuk pembentukan bingkai dan tangkai.
Manakala peralatannya pula terdiri daripada penebuk, plier memotong, plier lonjong, pisau, pembaris atau pengukur, penukul besi dan gunting besi. 
Proses Menganyam Bakul
Terdapat 3 peringkat kerja yang mesti dilakukan di dalam proses pembuatan bakul, iaitu:
·         Tapak bakul
·         Badan bakul
·         Bingkai / Tangkai bakul
Sebelum peringkat-peringkat ini dimulakan, perlulah dikenalpasti rekaan bakul yang meliputi ukuran tinggi, lebar, ukuran garispusat dan bentuknya
TEMPURUNG


Kraf tempurung merupakan salah satu di antara terbuang yang diperkenalkan. Setiap peringkat dalam proses membuat kraf tempurung hendaklah menitikberatkan tentang kawalan mutu supaya dapat menghasilkan keluaran yang cantik, eksklusif dan bermutu.
Bahan Utama:
Antara bahan-bahan utama yang diperlukan ialah tempurung tua dan tempurung muda dengan pelbagai ukuran (mengikut rekaan yang diperlukan). Kayu Jelutong digunakan sebagai tapak. Kulit rotan dililitkan di kulit tempurung sebagai hiasan dan untuk kelihatan kemas lagi. Tawas diperlukan sebagai bahan pengawetan. Bahan lain yang digunakan ialah pewarna
ANEKA KRAF
KOMPANG

Kompang mempunyai baloh berbingkai yang diperbuat daripada kayu jenis keras. Lazimnya dari spesis Nangka dan nama saintifiknya "Artocarpus Heterophylius". Belulang daripada kulit kambing digunakan sebagai bahan bunyi yang dipasang pada permukaan balohnya dengan menggunakan bahan pelekat kemudian ditindih dengan paku supaya ketegangannya lebih terjamin. Kompang juga memerlukan rotan sedak sebagai alat untuk menghasilkan suara yang baik.
Permainan Kompang lazimnya dimainkan secara berkumpulan dalam keadaan bersila, berdiri ataupun berarak mengikut keperluannya. Dalam teknik penghasilan bunyi, pemain akan menggunakan sebelah tangan untuk memegangnya dan menggunakan sebelah lagi tangan untuk memukulnya.
Selain dari Marhaban, peranan Kompang dalam kehidupan masyarakat masa kini, telah menjadi begitu penting khususnya untuk meraikan majlis perkahwinan atau menyambut pembesar-pembesar negara. Kini permaian Kompang telah mula diajar di sekolah-sekolah serta pusat-pusat pengajian tinggi dan institusi kerajaan.
Dalam konteks persembahan kumpulan Kompang terdiri daripada tiga kumpulan mengikut peranannya. Kumpulan pertama terdiri daripada beberapa orang pemain yang akan bertindak sebagai "Pembolong" menggunakan istilah lokaliti untuk memainkan pola paluan yang khusus serta spesifik secara seragam iaitu "in unison" sebagai pukulan dasar. Kumpulan kedua bertindak sebagai Peningkah lazimnya terdiri daripada seorang sahaja ketua dalam permainan tersebut dan kumpulan ketiga akan bertindak sebagai penyilang yang memainkan rentak hias sebagai unsur pelengkap kepada keseluruhan pola paluan yang terjalin


SENI KRAF ORANG ASLI

Di Malaysia terdapat 140 ribu org asli yang dibahagikan kepada 3 kumpulan utama iaitu Negrito, Senoi dan juga Melayu Proto.
Suku kaum Mahmeri, dari kumpulan Senoi adalah antara pribumi yang turut menghasilkan ukiran kayu. "Mahmeri" bermaksud orang hutan manakala dalam istilah, mahmeri memberi maksud bersisik. mereka juga dikenali sebagai orang laut. sesuai dengan lokasi penempatan mereka yang berhampiran dengan laut iaitu di Pulau Carey, Selangor.
Seni ukiran kayu telah lama bertapak dalam masyarakat Mahmeri dan mereka turut dikenali sebagai pengukir yang mahir. Kreativiti mengukir patung-patung berbentuk dewa-dewa, figura manusia, alam flora dan fauna amat menakjubkan. Ada di antara ukiran-ukiran itu, pernah mendapat pengiktirafan UNESCO.
Kehebatan seni ukiran ini dapat dilihat melalui ukiran yang dihasilkan oleh Encik Pion ak Bumbong yang lebih mesra dengan panggilan Pak Pion. Minat yang mendalam terhadap seni ini telah membawa Pak Pion mempelajari kemahiran serta teknik pengukiran dari pengukir sebelumnya. Kepakaran dan ketelitian kerja Pak Pion boleh dilihat dari peringkat awal proses ukiran iaitu semasa pemilihan asasnya.


SERUNAI


Serunai adalah sejenis alat muzik dalam kumpulan muzik tradisional Melayu dan merupakan salah satu daripada alat utama dalam persembahan wayang kulit Kelantan. Badan serunai berbentuk kon dan terdiri daripada tiga bahagian yang diperbuat daripada kayu. Panjang badannya adalah di antara 12 - 18 inci dan mengandungi 7 lubang petik di atas dan satu lubang jerit di bawah

UKIRAN HALUS


Seni ukiran yang terdapat pada senjata Melayu khasnya memperlihatkan rekacorak dan kehalusan seni ukiran Melayu. Penghasilan produk halus seperti hulu keris dan sarung keris ini bukan sahaja dihargai malahan ianya membawa pengertian falsafah yang tinggi nilainya. Bagi menghasilkan ukiran yang bermutu, penelitian dan penumpuan serta pemilihan bahan mentah yang sesuai dititikberatkan.

HASIL TANAH


Ciptaan tangan manusia dengan adunan tanah dan air telah membawa bersamanya kisah yang berusia 1,000 tahun sebelum masihi. Kisah ini mengimbas kembali kehidupan dan kreativiti manusia zaman Neolitik. Reformasi tamadun manusia telah membawa perubahan demi perubahan kepada seni kerjatangan seramik. Penemuan pasu Iban di Gua Niah Sarawak membuktikan kerjatangan ini telah wujud sejak beratus tahun yang lampau.
Antara kaum peribumi yang mewarisi kerjatangan ini adalah Iban, satu-satunya kaum yang demokratik dalam kehidupan seharian. Penghasilan pasu Iban dipercayai mempunyai unsur-unsur kerohanian kerana fungsinya lebih ke arah upacara-upacara rasmi kaum Iban. Gahnya "Nuan" satu rencana yang menggambarkan keunikan penghasilan pasu secara traditional dan keunikan ini digabungkan dengan cara hidup masyarakt suku kaum Iban.

TEMBIKAR LABU SAYONG

Kegiatan perusahaan seni tembikar tradisional di Semenanjung Malaysia telah mula dikenali sejak zaman-berzaman dan kini perusahaannya masih hidup di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia. Melalui kudrat tangan dan ketajaman ilham manusia, maka terbentuklah tembikar yang memaparkan keindahan warisan tradisi yang sebahagian besarnya disempurnakan oleh kaum wanita. Seni tembikar ialah hasil seni kraftangan yang diperbuat dari tanah liat yang diuli, diterap dengan pelbagai corak, diasapkan serta dibakar untukmenghasilkan satu rupabentuk yang sungguh berseni dan unik.
Tembikar yang lebih dikenali sebagai Labu Sayong berwarna hitam banyak terdapat di Sayong, daerah Kuala Kangsar, Perak. Malah sebut sahaja Sayong, maka tergambarlah keindahan bentuk seni labu yang berwarna kehitaman. Wujudnya labu hitam ini dari buah labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas untuk menyimpan air.
Suatu masa dahulu, labu hitam adalah alat penting yang digunakan sebagai bekas menyimpan air minuman di majlis kenduri. Keistimewaan labu hitam ini ialah airnya yang sejuk dan dipercayai boleh menawarkan beberapa jenis penyakit seperti batuk dan demam panas. Ia juga digunakan sebagai bekas air sewaktu menziarahi tanah perkuburan.
Labu Sayong menekankan sifat semulajadi iaitu tanah liat serta teknik penggunaan tangan. Rekaan corak permukaannya dihiasi dengan motif alam sekitar seperti motif bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan juga calaran-calaran geometrik yang harmoni.
Labu Sayong tetap dikagumi dan diminati bukan sahaja kerana penggunaannya semata-mata tetapi kerana keindahannya, berasaskan nilai estetika barangan tembikar itu.
LOGAM
FILIGREE


            Seni pertukangan perak adalah satu daripada cabang kesenian orang-orang Melayu yang amat terkenal di negeri Kelantan. Kemahiran pertukangan logam dipercayai telah wujud sejak zaman-berzaman, hasil pengaruh tamadun Hindu dan Islam yang memang terkenal dengan pertukangan barangan logam seperti emas dan tembaga
Barangan perak yang dihasilkan terbahagi kepada 3 jenis iaitu:
·         Barang-barang kasar (serbaguna)
·         Barang-barang dapur seperti pinggan mangkuk, teko dan sebagainya.
·         Barang-barang filigree seperti aksesori wanita dan cenderahati.
·         Barang-barang perhiasan ikatan permata.
Bagi masyarakat yang telah mengenali seni pertukangan perak filigree atau turut dikenali dengan dawai pintal, mengakui bahawa seni perak filigree mempunyai keindahannya yang tersendiri. Keindahan yang dimaksudkan ini bukan sekadar kehalusan ragam hiasan pada penciptaan suatu motif yang terselindung disebaliknya mengikut daya imaginasi jiwa pencipta itu sendiri.
Kebanyakan barangan filigree memaparkan peralatan perhiasan diri yang menjadi kegemaran kaum wanita.
Pelbagai motif bunga-bungaan terdapat dalam pertukangan perak filigree seperti bunga matahari, bunga cempaka, bunga orkid, bunga mawar dan lain-lain motif moden dalam rekacorak pertukangan barangan filigree.
Rekaan motif pada barangan perak filigree bukan sekadar hiasan sahaja tetapi juga adalah manifestasi falsafah budaya Melayu melalui hasil cipta yang penuh simbolik. 
Penggunaan & Fungsi Filigree
Penghasilan barangan perak filigree tidak sahaja untuk kegunaan perhiasan diri, malah dibuat dalam bentuk cenderahati, hiasan pada alat senjata dan alat kebesaran diraja.
Barangan eksklusif seperti anting-anting, rantai leher, kerongsang, kancing baju kebaya dan replika wau semakin mendapat tempat di hati masyarakat tempatan dan menarik minat pelancong luar negeri.

PANDAI BESI



Pandai besi merupakan satu gelaran bagi individu yang terkenal dan mahir di dalam bidang pertukangan besi. Seseorang yang menunjukkan ketokohan dan terbukti kebolehan biasanya diakui sebagai pakar di dalam bidang tersebut. Kemahiran "Pandai Besi" tertumpu kepada usaha menempa senjata tradisonal seperti keris, kelewang chalung, parang, pedang dan sebagainya di samping menghasilkan peralatan pertanian tradisional. Peralatan menempa, motif dan ragam pertukangan serta cara membentuk senjata memperlihatkan kepakaran "Pandai Besi" itu sendiri

TEMBAGA


Tembaga merupakan logam terawal digunakan oleh manusia. Di Malaysia penggunaan tembaga dipercayai bermula sejak zaman pra-sejarah. Menurut sejarah, penggunaan tembaga dalam proses pembuatan barangan seni telah dibawa masuk oleh masyarakat Funan apabila berlaku kekacauan di negeri tersebut.
Menurut sejarah, teknik pembuatan barangan tembaga secara tuangan berasal dari Funan pada zaman Dong-Son. Apabila berlaku kekacauan di negara tersebut, satu penghijrahan telah berlaku. Masyarakat Funan dipercayai berhijrah sehingga Tanah Melayu membawa bersama kemahiran yang ada.
Seni kerjatangan tembaga masih giat dijalankan terutama di Terengganu. Teknik pembuatan masih dikekalkan walaupun penggunaan beberapa peralatan baru diperkenalkan. Barangan yang dihasilkan melalui teknik tuangan ini seperti tepak sireh, kaki lilin, tempat bara, pahar dan sebagainya.

TEKSTIL

Perkataan batik merujuk kepada proses menghasilkan kain dengan menggunakan teknik terapan lilin bagi menghasilkan reka corak yang kemudian dicelup dengan pelbagai warna yang menarik. Reka corak serta penggunaan bahan-bahan baru telah menyemarakkan lagi pengeluaran batik. Batik yang dihasilkan di negara ini telah berjaya menembusi dunia fesyen antarabangsa. Kebiasaannya reka corak dan motif-motif batik diinspirasikan dari alam semula jadi seperti flora dan fauna yang kemudiannya digabung dengan corak-corak geometri atau abstrak.

Reka corak batik ini diaplikasikan ke atas batik menggunakan teknik canting, batik blok dan batik sutera saring. Di Malaysia kini batik telah diangkat sebagai salah satu daripada seni warisan bangsa yang menjadi kebanggaan negara. Perusahaan batik dipercayai bermula pada awal abad ke 12 iaitu di Kepulauan Jawa dan kemudiannya berkembang ke Semenanjung Tanah Melayu, khususnya di Kelantan dan Terengganu. Semenjak itu seni kemahiran batik terus berkembang ke negeri-negeri lain di Malaysia. Batik di negara ini dihasilkan dengan teknik dan reka corak yang beridentitikan Malaysia. Kini Malaysia menjadi salah sebuah negara pengeluar utama batik di dunia yang mengiktiraf kehalusan dan kemahiran kerja tangan pengeluar batik tempatan.

JENIS-JENIS BATIK

BATIK BLOK




Batik ialah salah satu bidang kraftangan tradisional yang terkenal di Malaysia. Ia dihasilkan melalui proses penerapan lilin dan pencelupan warna. Sejarah perkembangan batik di Malaysia dipercayai bermula pada abad ke 15 Masehi. Perkembangan awal memperlihatkan kesan dan pengaruh batik daripada jawa. Mulai tahun 1930-an hingga selepas Perang Dunia Kedua, perusahaan batik di Malaysia telah berkembang dengan pesat. Para pengusaha batik di negeri-negeri Kelantan dan Terengganu merupakan perintis kepada perkembangan batik di negara ini. Hasil-hasil batik tempatan tinggi mutu ciptaan dan rekacoraknya. Ini melambangkan satu kemahiran kerjatangan yang kreatif di kalangan pembuat-pembuat batik tanah air. Daya tarikan batik bukan sahaja terkenal di kalangan penduduk tempatan malah ia turut mendapat sambutan dari pelancong-pelancong asing yang datang dari luar negeri.

Di Malaysia, batik dihasilkan melalui beberapa teknik, proses dan gaya tertentu, Salah satu teknik ialah Batik Blok. Di Pantai Timur ia lebih dikenali sebagai Batik Cap atau Batik terap. Proses awal dalam perkembangan membuat Batik Blok adalah menggunakan ukiran sarang blok kayu untuk mengecap sejenis bahan pewama hitam semulajadi. Teknik awal ini dipanggil ‘Terap Hitam’. Pada tahun 1920-an, penggunaan lilin di dalam proses penerapan mula diperkenalkan oleh pembuat batik di Pantai Timur.Sejajar dengan itu, blok-blok yang diperbuat daripada kepingan keluli mula mengambil alih tugas blok kayu sebelumnya. Corak-corak blok keluli ini lebih kemas dan halus buatannya. Blok-blok khas disediakan untuk menerap lilin pada bahagian Kepala Kain, Kapit Kain dan Badan Kain.

Kegunaan Kain Batik Blok

Kain Batik Blok merupakan kegemaran penduduk tempatan. Ianya dijadikan sebagai kain batik sarung dan batik ela. Selain dijadikan pakaian, kain batik ela boleh diubahsuai untuk menghasilkan kain cadar, langsir, alas tilam, sarung kusyen, sarung bantal, beg tangan dan berbagai-bagai jenis barang kegunaan seharian yang indah dan cantik.

Motif dan Rekacorak Hiasan

Motif-motif yang sering digunakan pada kain batik blok adalah berupa corak tumbuh-tumbuhan dan bunga-bunga tempatan seperti Bunga Mawar, Bunga Orkid, Bunga Cengkih, Bunga Cina, akar-akar menjalar, paku-pakis dan corak-corak geometrik terutamanya motif Pucuk Rebung. Motif-motif ini pula diterapkan dalam berbagai susunan dan tataletak, seperti melintang, tegak, serong, tompok-tompok dan susunan batu-bata.

BATIK CANTING



Bating canting
     
Batik, memang sudah terkenal sebagai salah satu bidang kraftangan tradisional yang unggul di Malaysia.Sejarah perkembangan batik di Malaysia dipercayai bermula pada abad ke 15 Masehi. Pada tahun 1920-an, penggunaan lilin telah diperkenalkan oleh pengusaha-pengusaha batik di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, khususnya negeri Kelantan dan Terengganu, yang merupakan perintis kepada sejarah perkembangan batik di negara ini. Hasil-hasil batik tempatan yang tinggi mutu ciptaan dan rekacoraknya melambangkan satu kemahiran kerjatangan yangg unik dan kreatif di kalangan tukang-tukang batik tanah kita.

Kini, batik bukan sahaja diminati di kalangan penduduk tempatan, malah ia turut digemari dan popular di kalangan pelawat-pelawat asing yang datang dari luar negeri. Di Malaysia, batik dihasilkan melalui beberapa teknik dan proses. Setiap teknik mempunyai cara dan identiti tersendiri. Teknik batik yang biasa dihasilkan ialah Batik Blok, Batik Skrin, dan satu lagi teknik membatik yang begitu popular dewasa ini ialah Batik Canting.

Kegunaan Kain Batik Canting

Kain Batik Canting amat digemari oleh peminat-peminat fesyen pada hari ini. Ia dapat dipadankan dan disesuaikan dengan kehendak dan kegunaan mengikut arus peredaran zaman. Selain dijadikan pakaian, kain Batik Canting sesuai dibuat selendang, skaf, beg tangan, alas tilam, selimut, hiasan dinding, sarung kusyen dan berbagai—bagai jenis barang kegunaan seharian yang cantik dan menarik.

Motif dan Rekacorak Hiasan

Warna-warna yang segar dan eksklusif serta motif-motit yang dihasilkan melalui lakaran bebas, merupakan satu ciri keistimewaan tersendiri yang terdapat pada kain Batik Canting. Motif-motif yang sering menjadi tumpuan rekacorak hiasan kain batik contcng adalah berupa corak tumbuh-tumbuhan, bunga, unggas dan corak-corak moden yang abstrak.

BATIK SKRIN

Batik merupakan salah satu bidang Kraftangan Tradisional yang unggul di Malaysia. Corak dan kombinasi warnanya yang segar dan sentiasa mengikuti arus perkembangan semasa tanpa mengabaikan ciri-ciri tradisi, telah beriaya memikat hati para pengguna dari dalam dan luar negeri. Negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung, khususnya negeri Kelantan dan Terengganu merupakan perintis kepada sejarah perkembangan batik di Malaysia. Hasil-hasil batik di Malaysia tinggi mutu ciptaan dan rekacoraknya. Ini melambangkan satu kemahiran seni kerjatangan yang kreatif di kalangan tukang-tukang batik tempatan. Terdapat beberapa cara dan teknik menghasilkan batik. Pada asalnya, batik dihasilkan melalui proses penerapan bahan lilin dan pencelupan warna. Dua teknik utama yang menggunakan lilin dan pewarna ialah Batik Conteng dan Batik Blok.Terdapat satu lagi teknik yang agak unik iaitu Batik Cetak Sutera Saring atau dikenali sebagai Batik Skrin. Batik Skrin dipercayai telah dipelopori oleh sekumpulan pembuat batik di negeri Kelantan, di mana teknik penggunaannya dikatakan telah dibawa masuk daripada negeri Siam pada awal tahun 1900.

Kegunaan Kain Batik Skrin

Kain batik jenis cetak skrin ini amat popular di kalangan kaum wanita tempatan. Kain batik sarung merupakan yang paling banyak dan sesuai dihasilkan melalui teknik cetakan skrin ini. Selain dijadikan pakaian, kain Batik Skrin sesuai dibuat topi, beg, alat aksesori wanita dan sebagainya.

Motif dan Rekacorak Hiasan

Tumbuh—tumbuhan, binatang dan unggas, terutamanya bunga, kupu—kupu dan burung merupakan motif—motif yang sering menjadi pilihan pencipta-pencipta batik untuk dijadikan corak dan ragamhias pada kain Batik skrin.





No comments:

Post a Comment